MENGAPA TUN MAHATHIR SEDIH?
lain sehingga sanggup memburukkan
bangsa sendiri. Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka
tentulah mereka tidak mecrasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu
semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa
mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami
pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan
tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah. Rata-rata
mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan,
tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan
orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka
sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki
orang lain.
Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu
adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan
negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau
budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan
apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan
Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.
Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian
dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi
jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di
hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga
mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah
kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok
meminta maaf daripada askar Jepun.Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu
sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri
Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana
membalas budi Siam.
Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah
supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri
seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan
Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan
ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani
menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh
ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut
akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac
Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan
raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri
mereka.
Cadangan Malayan Union British bertujuan
menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia
akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik
British. Dalam keadaan orang Melayu
begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa
kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka
akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap
dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah
tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara,
tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba
sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan
malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka
dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka
bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu
yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan
penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan
negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British
kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.
Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah
Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang
dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan
negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun
dan lain-lain kemudahan.Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan
kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan
Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.
Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah. Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah. Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia. Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka. Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.
Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut. Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.
Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.
Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain. Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.
SUMBER
0 ulasan