Salam Maulidur-Rasul....
Ahklak Nabi Muhammad s.a.w
Perjalanan hidupnya dari zaman kanak-kanak sehingga meningkat dewasa serta sesudah dimertabatkan sebagai Rasul, baginda terkenal sebagai seorang yang jujur, berbudi luhur dan memiliki keperibadian yang tinggi. Tingkah laku dan perbuatannya amat berlainan sekali dengan kebanyakkan pemuda-pemuda dan penduduk Kota Mekah yang pada umumnya gemar berfoya-foya dan minum minuman keras yang memabukkan. Berkat kejujurannya dalam berkata-kata serta perbuatannya, baginda diberi gelaran sebagai 'Al-Amin' yang bererti seorang insan yang amat dipercayai.
Ahli sejarah menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil sehingga dewasa. Baginda juga tidak pernah memakan daging haiwan yang disembelih bagi tujuan korban berhala sebagaimana lazimnya dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliah pada masa itu. Baginda sangat membenci berhala dan menjauhkan diri daripada majlis keramaian dan upacara pemujaan berhala.
Baginda berusaha dengan sendiri untuk mencari nafkah kerana kedua orang tuanya tidak meninggalkan harta warisan yang banyak. Setelah baginda menikahi Siti Khadijah, baginda melakukan perkongsian bersama isterinya serta orang luar dalam urusan perdagangan. Sebagai seorang insan yang bakal memikul tanggungjawab sebagai pembimbing seluruh umat manusia, Nabi Muhammad s.a.w memiliki bakat dan kemampuan jiwa yang besar. Baginda merupakan seorang yang cergas berfikir, memiliki ketajaman otak, kehalusan perasaan, kekuatan ingatan, tanggapan yang cekap, teguh dalam pendirian serta sangat lembut dan bersopan dalam pertuturannya.
Penulis : Muhammad Abdul Wahab; Terbitan : Berlian Publications S/B
Nota Jari: Salam Maulidur-Rasul... Semoga kita semua dapat mencontohi akhlak terpuji Nabi Muhammad s.a.w...
0 ulasan