16 September

by - Saturday, September 15, 2012



Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia... Ermmm.. Dah lama Ai x update this blog... huhuhu...
Kali ni, Ai nak kongsi Nota Ringkas Sejarah Penubuhan Negara Malaysia... Sebagai rakyat Malaysia, kita patut tahu dan menghargai pengorbanan orang dahulu yang bertungkus-lumus mempertahan dan memperjuangkan kemerdekaan serta pembentukan negara Malaysia..
 
1.      Penyatuan dan penggabungan Negeri-Negeri Melayu (Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei telah dicadangkan oleh Lord Brassey, Pengarah "British North Borneo Chartered Company" pada tahun 1887.

2.           Penggabungan ini bertujuan untuk membentuk sebuah tanah jajahan British yang lebih luas.

3.       Usul penggabungan Negeri-Negeri Melayu ini turut dikemukakan oleh Sir Frank Swettenham, Residen-Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu tetapi Kabinet British tidak memberi perhatian ke atas usul ini.

4.       Pada tahun 1949, Sir Malcolm MacDonald, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah melaksanakan usaha untuk menjayakan proses penggabungan ini tetapi tidak mendapat persetujuan dari tiga buah wilayah Borneo iaitu Brunei, Sarawak dan Borneo Utara.

5.         Idea penggabungan Negeri-Negeri Melayu dan wilayah-wilayah Borneo turut dikemukakan oleh David Marshall, Ketua Menteri Singapura dan beberapa oarang pemimpin Singapura iaitu Lim Yew Hock dan Lee Kuan Yew.

6.    Pada tahun 1954, Ghazali Shafie seorang anak Melayu yang menuntut di England turut mengemukakan gagasan penggabungan Negeri-Negeri Melayu.

7.   Pada tahun 1955, Tan Cheng Lock seorang pemimpin kaum Cina telah mencadangkan pembentukkan negara Malaysia yang lebih besar.

8.     Gagasan-gagasan yang dicadangkan ini tidak mendapat sokongan dari Kerajaan British yang memerintah Negeri-Negeri Melayu.

9.       Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) telah menyuarakan semula konsep penggabungan Negeri-Negeri Melayu, Singapura dan tiga wilayah Borneo ke dalam sebuah entiti yang lebih besar iaitu Malaysia.

10.    Matlamat penggabungan wilayah-wilayah ini ialah untuk mewujudkan perpaduan politik, ekonomi dan sosial.

11.      Dalam proses pembentukan negara Malaysia, beberapa siri rundingan telah diadakan di antara PTM dan kerajaan British yang memerintah wilayah-wilayah Borneo.

12.   Dalam rundingan-rundingan ini, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan iaitu Suruhanjaya Cobbold. Fungsi suruhanjaya ini ialah membuat tinjauan dan mendapatkan pandangan rakyat Borneo mengenai penubuhan negara Malaysia.

13.  Sebelum pembentukan Suruhanjaya Cobbold, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM).

14.    Fungsi utama JPPM ialah menerangkan secara terperinci mengenai konsep dan gagasan Malaysia kepada rakyat Borneo Utara, Sarawak dan Brunei.

15.         Pada tahun 1962, Brunei membatalkan hasratnya untuk menyertai gagsan Malaysia.

16.         Menerusi beberapa siri rundingan, JPPM mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold. Perkara-perkara yang terkandung dalam memorandum ini ialah:-Negara Malaysia yang akan ditubuhkan hendaklah mempunyai sebuah kerajaan yang stabil dan   kukuh.
a.  Pembahagian kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bagi Borneo Utara, Sarawak dan Singapura hendaklah diperuntukkan.
b.  Peruntukan istimewa bagi Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak hendaklah digariskan. Peruntukan ini termasuk hal-ehwal imigresen.
c.  Bahasa Melayu dan agama Islam menjadi bahasa dan agama rasmi bagi Negara Malaysia yang baru.
d.  Kedudukan istimewa bumiputera (pribumi) Borneo Utara dan Sarawak hendaklah dikekalkan.

17.     Pada Jun 1962, hasil dari kajian dan tinjauan serta memorandum yang diterima, Suruhanjaya Cobbold telah mengemukakan satu laporan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British.

18.     Hasil dari rumusan Suruhanjaya Cobbold, satu jawatankuasa telah ditubuhkan pada Ogos 1962. Jawatankuasa ini juga dikenali sebagai Jawatankuasa Lord Landsdowne kerana ia dipengerusikan oleh Lord Landsdowne, wakil Kerajaan British.

19.    Fungsi utama JAK ialllah mengkaji peruntukan perlembagaan yang berkaitan dengan penyertaan Borneo Utara dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia.

20.      Borneo Utara telah mengemukakan satu memorandum yang dinamakan Dua Puluh Perkara yang bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat Borneo Utara (Sabah).

21.    Peranan yang dimainkan oleh JAK telah member keyakinan kepada wilayah-wilayah Borneo bahawa hak dan kepentingan mereka tetap terjamin dan terpelihara apabila menyertai Persekutuan Malaysia.

22.     Dalam proses pembentukan Persekutuan Malaysia,satu referendum (pungutan suara) berasingan telah diadakan khusus untuk rakyat Singapura. Referendum ini berlangsung pada 1 September 1962.

23.  Keputusan referendum ini menunjukkan 71% rakyat Singapura menyokong pembentukan Persekutuan Malaysia dan bersetuju dengan penyertaan Singapura ke dalam persekutuan ini.

24.     Dalam proses pembentukan Persekutuan Malaysia, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menghadapi tentangan dan cabaran dari negera-negara jiran iaitu Indonesia, Filipina dan Brunei.

25.    Negara Indonesia menentang pembentukan Persekutuan Malaysia dan mengisytiharkan dasar konfrontasi terhadap Malaysia.

26.     Parti Rakyat Brunei menentang penubuhan Negara Malaysia dan membawa usul penentangan ini dalam Majlis Mesyuarat Undangan Brunei.

27.      Negara Filipina pula, bukan sahaja menentang pembentukan negara Malaysia bahkan negara itu mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan British supaya Borneo Utara (sabah) diserahkan kepada Filipina. Filipina mendakwa Borneo Utara adalah wilayah Kesultanan Sulu.

28.      Akibat penentangan dari Indonesia dan Filipina ke atas penubuhan negara Malaysia maka pada April 1963, satu persidangan Menteri Luar dari tiga buah negara iaitu Indonesia, Filipina dan negara baru Malaysia telah berlangsung di Manila.

29.     Persidangan Menteri Luar tiga buah negara ini telah menghasilkan keputusan iaitu pembentukan sebuah gabungan yang dinamakan MAPHILINDO iaitu singkatan daripada nama Malaysia, Philippines (Filipina) dan Indonesia.

30.   Matlamat penubuhan MAPHILINDO ialah untuk mencapai kesepakatan dan mencari satu penyelesaian terhadap persengketaan tiga buah negara ini.

31.         Berikutan dengan penubuhan MAPHILINDO, satu siding kemuncak ketua-ketua Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Filipina telah diadakan di Manila, Filipina.

32.         Dalam sidang kemuncak ini, ketiga-tiga ketua Kerajaan ini yang terdiri yang terdiri dari Tunku Abdul Rahman Putra (Perdana Menteri PTM),Presiden Sukarno (Presiden Indonesia) dan Presiden Macapagal (Filipina) telah bersetuju untuk menyelesaikan persengketaan ini menerusi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

33.       Pihak PBB diminta membuat tinjauan semula terhadap reaksi rakyat Borneo Utara dan Sarawak mengenai penubuhan Persekutuan Malaysia.

34.   Tinjauan yang dibuat oleh PBB ternyata menghasilkan satu kesan yang positif, iaitu rakyat Borneo Utara dan Sarawak menyokong sepenuhnya penubuhan Persekutuan Malaysia.

35.     Apabila Setiausaha Agong PBB mengumumkan laporannya, Kerajaan Indonesia dan Filipina tetap menolak keputusan yang dibuat oleh badan dunia itu.

36.     Kerajaan Indonesia meneruskan semula dasar konfrontasinya terhadap negara baru Malaysia dengan membawa slogan “Ganyang Malaysia”.

37.   Kerajaan Filipina pula meneruskan tuntutannya ke atas Sabah kepada Kerajaan Persekutuan Malaysia.

38.   Di sebalik pelbagai tentangan dan cabaran, pada 8 Julai 1963, Perjanjian Malaysia telah ditandatangani oleh Kerajaan British, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan Singapura, Borneo Utara dan Sarawak.

39.      Perjanjian Malaysia telah dimeterai di Malborough House, London. Perjanjian ini membenarkan peralihan kedaulatan Britain ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia telah diisytiharkan dengan penuh adat istiadat yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

40.    Pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman Putra, selaku Perdana Menteri Malaysia telah membuat pengumuman mengenai pemisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia setelah berada dalam persekutuan ini selama satu tahun sebelas bulan.


Nota Jari: Nota Ringkas ni Ai salin daripada buku Pengajian Malaysia (Rujukan Untuk Pelajar pelajar IPTA & IPTS) terbitan International Law Book Services... Pic2 dalam video IM4U pula Ai ambil dari google..hehehe...

You May Also Like



0 ulasan