Ada Apa Dengan Kemurungan (Depression)???
As'salam.. Harap korang tak bosan sebab Ai asyik share tentang depression je.. Huhuhuhu.. Ai nak sangat pulih.. Sedang berusaha mengatasi punca kemurungan.. Ni Ai share penerangan tentang kemurungan oleh Doktor Nurzuriana..
Sedih. Pilu. Hiba. Murung. Duka. Gundah-gulana. Lara. Masygul. Merana. Pedih. Sendu. Terharu. Susah hati. Getir. Melankolik. Muram. Remuk-redam. Menyesak. Derita. Sengsara.
Tidak kurang daripada 15 perkataan Bahasa Melayu yang membawa erti kemurungan. Padahal, perkataan sinonim untuk gembira tidaklah sebanyak itu. Kenapa agaknya orang Melayu banyak menggunakan pelbagai perkataan untuk menggambarkan kemurungan ini? Adakah semuanya membawa maksud yang sama? Tentulah tidak, kan. Lain perkataan, lain kualiti kesedihan itu. Betapa indahnya pekerti bangsa Melayu dalam menyantuni perasaan yang amat rapuh ini.
EH, EH, ZAMAN DULU PUN NENEK MOYANG KITA ADA KEMURUNGAN JUGA KAH?
Bukan penyakit kemurungan ni penyakit generasi zaman sekarang? Penyakit budak2 ”manja”? Penyakit orang ada-ada? Penyakit orang lemah iman?
Kau rasa?
ALAH… SEMUA ORANG PERNAH SEDIH KOT.. TAKKAN ITU PUN JADI PENYAKIT?
Ya betul. Semua orang dalam hidup ni pernah sedih. Sedih kematian kucing, sedih tunang dirampas orang, sedih tak dapat ikut rombongan sekolah, sedih kematian orang tersayang, sedih dimarahi bos… Semua kejadian dalam hidup ini punya darjah kesedihan yang berbeza.
TAPI, SEDIH KEMURUNGAN NI, LAIN MACAM BRO…
Bayangkan… kepayahan nak bangun dari tidur tu, macam ada batu besar mengikat anda ke katil. Segala tenaga dikumpul hanya untuk bangun. Belum lagi nak heret kaki untuk ke kuliah/pejabat. Baca ulangkali pun tak masuk-masuk. Nak buat apa2 pun tiada mood. Jgn cakap nak tengok FB, nak tekan butang IG pun takde minat. Tiada keseronokan langsung. Perut terasa sebu. Semuanya nampak gelap. Jiwa terasa kosong… hambar…murung. Anda boleh dikelilingi 100 rakan2 tetapi anda tetap rasa keseorangan. Tika ini, kehadiran anda di dunia terasa hanyalah satu bebanan buat orang lain. Dan tidak ada apa lagi yang bermakna di dalam hidup ini kecuali… ya....MATI.
TAPI BUNUH DIRI TU HARAM TAU!
Percayalah, tiada siapa sebenarnya yang ingin bunuh diri. Difikiran mereka, pada saat itu, bunuh diri ini adalah satu-satunya jalan untuk mengeluarkan mereka dari kesengsaraan yang dialami. Sedih, bukan?
Bukan semua orang yang mengalami kemurungan berjalan di muka bumi ini dengan wajah sugul, membawa plakad di bahu yang tertulis ”SAYA MURUNG”. Tidak seperti mereka yang patah kaki.. tampak tempang langkahnya, dibantu sebatang tongkat. Tidak seperti mereka yang diserang stroke, terlantar dikatil, segalanya perlu dibantu. Tidak, kawan-kawan.…. Kebanyakan mereka yang murung ini.. dari luaran.. sama seperti kamu dan saya. Ramai yang masih cuba tersenyum.. walaupun hati menangis pilu. Tidak kurang yang memikul tanggungjawab seharian yang termampu hingga tiada tenaga lagi yg tinggal, dan esok hari – mengumpul saki-baki daya yang ada untuk meneruskan kehidupan. Namun di dalam hati.. di dalam fikiran… kemurungan itu seumpama bayang2 hitam yang mengekori mereka tanpa henti.
HABIS TU, KITA NAK BUAT APA?
Macam kami selalu pesan… Peka. Prihatin. Empati. Luangkan masa menjadi pendengar yang berkesan. Pujuklah mereka untuk berjumpa dengan doktor untuk saringan, diagnosis dan rawatan. Doakan mereka. Bantu ringankan bebanan mereka.
Kerana, 1 dalam 4 orang mengalami kemurungan dalam satu-satu masa dalam hidup mereka. Mungkin bukan kita, tapi mungkin ahli keluarga kita, sahabat kita, anak2 kita…
Kerana kita tidak tahu, mungkin ada kata2 & perbuatan kita yang mampu…. menyelamatkan SATU NYAWA.
0 ulasan